Berikut petikan laporan satu akhbar atas talian...
Kecoh tak
pasal-pasal
Oleh Mary
Victoria Dass dan Redzuan Muharam
Johor Bahru:
“Kami bukan mahu melihat hantu, tetapi pergi ke situ sekadar suka-suka,” kata
Mohamad Izzat Izuddin Hussin, 16, yang disangka hilang dan disorok hantu di
banglo usang Villa Nabila di Jalan Skudai di sini, tapi sebenarnya bermalam di
rumah kawan.
Mohamad
Izzat yang dilaporkan hilang sejak tengah malam Sabtu lalu sebelum dikesan,
awal pagi semalam berkata, tiada kejadian tidak diingini berlaku di banglo
berkenaan ketika dia bersama kira-kira 30 rakannya berkunjung ke situ.
Menurutnya,
selepas keluar dari Villa Nabila awal pagi Ahad lalu, dia dan beberapa rakan
sempat ke Masjid Ayer Molek untuk solat sebelum makan di sebuah restoran
makanan segera.
“Saya bimbang dimarah ibu kerana pulang lewat lalu mengambil keputusan tidur di
rumah kawan, namun tidak sangka ia menyebabkan kekecohan,” katanya ketika
ditemui di Balai Polis Sentral, di sini, bersama ibunya, semalam.
MOHAMAD
Izzat bersama ibunya.
Mohamad Izzat berkata, dia hanya sedar keluarga mencarinya selepas diberitahu
rakan polis datang mencarinya di rumah.
“Selepas ke Villa Nabila, saya tidak pulang ke rumah di Kampung Melayu Majidee
kerana sudah lewat. Saya bimbang dimarahi ibu dan tidak dapat menghubunginya
kerana tidak ingat nombor telefon.
“Saya tiba di rumah rakan kira-kira jam 5 pagi dan terus tidur kepenatan. Saya
tidak sedar orang ramai mencari saya kerana menyangka hilang.
“Saya terkejut apabila ada anggota polis ke rumah rakan untuk mencari saya dan
memohon maaf kerana menyusahkan banyak pihak,” katanya.
Pelajar tingkatan empat itu berkata, dia dan rakan berkunjung di banglo usang
itu kerana mahu menghabiskan masa sempena cuti sekolah.
“Biasanya kami berjalan sekitar bandar, tetapi kali ini ke Villa Nabila yang
berhampiran Teluk Danga kira-kira jam 12 tengah malam selepas seorang kawan
memberi cadangan,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Norhayati Mohamad, 38, berkata, dia menerima panggilan
telefon daripada polis kira-kira jam 2 pagi memaklumkan anak ketiga daripada
tujuh beradik itu ditemui di rumah rakannya di Flat Taman Desa Mutiara, Tebrau,
di sini.
Sebelum itu, terdapat pelbagai laporan, antaranya, seperti berikut:
Misteri Villa Nabila
Oleh AZIZI
MAJID dan IFQDAR RAHMAN
pengarang@utusan.com.my
Orang ramai
memenuhi kawasan Villa Nabila atau Christine Palace berikutan berita di laman
sosial mengenai kehilangan beberapa remaja di villa usang berkenaan di Jalan
Skudai, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU
18 Nov. - Sebuah banglo terbiar dikenali sebagai Villa Nabila di Jalan Skudai
di sini menjadi tumpuan ramai apabila seorang remaja lelaki dilaporkan 'hilang'
selepas memasuki premis itu bersama beberapa rakannya awal pagi ini.
Mohamad
Izzat Izzudin Husin, 16, sebelum itu tidak pulang selepas keluar rumahnya di
Kampung Hajah Hasnah Majidee di sini sejak Sabtu lalu.
Ibunya,
Norhayati Mohamad, 38, kemudian menghubungi rakan anaknya yang memaklumkan
remaja itu telah pergi ke banglo berkenaan bersama beberapa rakannya.
Timbalan
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Supritendan Abdul Samad Salleh berkata, ibu
remaja tersebut telah pergi mencari anaknya di banglo berkenaan malam tadi.
"Selepas
gagal menemukan anaknya, wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Danga
Bay pukul 1 pagi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari
ini.
Abdul Samad
berkata, sepasukan polis termasuk Unit Anjing Pengesan serta pasukan Bomba dan
Penyelamat telah menjalankan operasi di banglo itu tetapi gagal mengesan remaja
berkenaan.
Beliau yang
mengklasifikasikan kes itu sebagai orang hilang turut menafikan khabar angin
yang tersebar di laman sosial Facebook bahawa terdapat 23 remaja hilang
manakala tujuh lagi berjaya keluar selepas memasuki banglo berkenaan.
Menurut
Abdul Samad , pihaknya hanya menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu
dan menggesa orang ramai tidak menyalurkan maklumat tidak tepat sehingga boleh
mengelirukan pelbagai pihak.
Dalam pada
itu, difahamkan, keluarga Mohamad Izzat turut mendapatkan khidmat ustaz dan
pengamal perubatan Islam bagi menjejaki remaja berkenaan yang dikhuatiri telah
'disembunyikan'.
Tinjauan Utusan
Malaysia di lokasi kejadian mendapati orang ramai mula berada di pekarangan
pintu masuk banglo tersebut sejak malam tadi hingga menyebabkan kesesakan lalu
lintas sejauh kira-kira dua kilometer.
Villa Nabila
yang mempunyai tiga buah bangunan yang sudah usang itu dianggap penduduk
sebagai berhantu dan kewujudannya sejak 40 tahun lalu sering dikaitkan dengan
pelbagai kejadian mistik sehingga menjadi tumpuan orang ramai, khususnya
pengkaji aktiviti paranormal.
Sementara
itu, salah seorang remaja yang turut sama ke banglo berkenaan, Megat Irfan
Abdullah Shariman, 16, berkata, dia bersama kira-kira 30 rakan lain masuk ke
premis berkenaan pukul 12.30 tengah malam tadi.
"Kira-kira
20 minit di situ, beberapa rakan saya tiba-tiba diserang histeria sebelum kami
bergegas turun dan pergi ke Masjid Kolam Air untuk mendapatkan bantuan orang
ramai.
"Selepas
itu kami semua bersurai, tak sangka pula ada yang hilang kerana saya sendiri
kurang mengenali dia (mangsa)," katanya.
Seorang lagi
remaja, Junaizi Rafifi Jamaluddin, 13, mendakwa, terdapat dua kumpulan pergi ke
banglo terletak di kawasan atas bukit berkenaan.
"Saya
masuk dengan sembilan rakan dan sebaik sahaja turun barulah ada rakan beritahu
ada yang tertinggal di atas tetapi saya sendiri tidak kenal remaja
tersebut," katanya.
Sementara
itu, usaha wartawan untuk menemu bual Norhayati gagal apabila wanita berkenaan
terus beredar menaiki kereta selepas memberi kenyataan di Balai Polis Sentral
di sini kira-kira pukul 2.30 petang.
Berikut pula, KENYATAAN PIHAK POLIS:
JOHOR BAHRU – Remaja, Mohd Izzudin Izzat Hussin, 16 tahun, yang
dilaporkan hilang selepas pergi ke Villa Nabila di Danga Bay Johor Bahru
16 November lepas untuk meninjau hantu tahu dirinya sedang dicari pihak
polis sepanjang tempoh kehilangannya melalui berita televisyen.Perkara
itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negeri Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd
Shariff dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari
ini.
Menurut beliau, remaja berkenaan ditemui di sebuah rumah rakannya di
Flat Desa Mutiara tengah malam tadi bersama teman wanitanya.
“Polis Johor berjaya.. misteri Villa Nabila ini sudah terjawab..
budak yang dilaporkan hilang yang dikatakan disorok oleh jin, makhluk
halus.. berita yang begitu sensasi sekali ya.. disebar begitu luas dalam
laman sosial.. Polis Johor berjaya menjawab misteri ini,” katanya.
Mohd Mokhtar berkata sebaik sahaja pihak polis menerima laporan
kehilangan remaja terbabit, pihak polis Johor menubuhkan satu pasukan
khas mencari remaja terbabit.
“Ibunya buat laporan mengatakan dia keluar rumah tak balik, kemudian
pelbagai cerita kononnya hilang di Villa Nabila, polis tubuhkan pasukan
khas, Ops Kesan arahan jelas, cari budak ini sampai dapat,” katanya.
Hasil daripada pemantauan, risikan dan kebijaksanaan polis akhirnya
malam tadi remaja berkenaan berjaya ditemui, kata Mohd Mokhtar.
Beliau berkata polis membawa remaja berkenaan yang bersama teman wanitanya ke sebuah balai polis serta direkod kenyataannya.
“Jadi, cerita yang kononnya dia hilang di Villa Nabila ini tidak
betul. Nasihat saya berhentikanlah kepercayaan kurafat ini. Jangan
menyebarkan maklumat-maklumat, khabar angin kononnya di Villa Nabila
orang pergi hilang, 30 budak hilang.. Ini semua karut.
“Budak ini telah dijumpai malam tadi lebih kurang pukul 12 malam oleh
anggota polis dan kita telah siasat dan dia pun tahu, bukan dia tak
tahu.. Dia pun tengok televisyen juga,” katanya.
Remaja itu, menurut beliau akan diserahkan kepada keluarganya.
SAYA UNGKITKAN/NYATAKAN...
1. Saya kesian kepada "ramai" rakyat Malaysia, termasuk saya, yang tiba-tiba terpaksa "menyelongkar" tentang "Apa itu Villa Nabila"?, "Apa ceritanya"? dan lain-lain;
2. Saya kesian dan simpati kepada pihak keselamatan (polis, dan lain-lain pihak) yang terpaksa mengerahkan tenaga (dan kos serta masa) untuk "operasi khas" ini, dan berakhir ceritanya sedemikian rupa seperti di atas;
3. Saya hairan, kenapa ramai kita mudah percaya kepada cerita sensasi yang tak tentu hala dan tahyul; dan
4. Saya masih tertanya-tanya, "Apa cerita sebenarnya, yang sebenar-benarnya" di sebalik cerita yang terbongkar itu....(terutama tentang budak lelaki tu)
Apapun, pasti ada hikmah disebalik cerita di atas, selain daripada yang saya ungkitkan/nyatakan di atas, termasuklah:
1. Kemungkinan memajukan tempat itu agar lebih bermanfaat; dan
2. membuka mata tentang wujudnya tempat terbiar di suatu kawasan/wilayah yang merupakan salah satu yang paling pesat membangun/dibangunkan.