Tuesday, November 19, 2013

Oh, "VILLA NABILA"...

Berikut petikan laporan satu akhbar atas talian...



Kecoh tak pasal-pasal
Oleh Mary Victoria Dass dan Redzuan Muharam
Johor Bahru: “Kami bukan mahu melihat hantu, tetapi pergi ke situ sekadar suka-suka,” kata Mohamad Izzat Izuddin Hussin, 16, yang disangka hilang dan disorok hantu di banglo usang Villa Nabila di Jalan Skudai di sini, tapi sebenarnya bermalam di rumah kawan.
Mohamad Izzat yang dilaporkan hilang sejak tengah malam Sabtu lalu sebelum dikesan, awal pagi semalam berkata, tiada kejadian tidak diingini berlaku di banglo berkenaan ketika dia bersama kira-kira 30 rakannya berkunjung ke situ.
Menurutnya, selepas keluar dari Villa Nabila awal pagi Ahad lalu, dia dan beberapa rakan sempat ke Masjid Ayer Molek untuk solat sebelum makan di sebuah restoran makanan segera.
“Saya bimbang dimarah ibu kerana pulang lewat lalu mengambil keputusan tidur di rumah kawan, namun tidak sangka ia menyebabkan kekecohan,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Sentral, di sini, bersama ibunya, semalam. 



MOHAMAD Izzat bersama ibunya.

Mohamad Izzat berkata, dia hanya sedar keluarga mencarinya selepas diberitahu rakan polis datang mencarinya di rumah.
“Selepas ke Villa Nabila, saya tidak pulang ke rumah di Kampung Melayu Majidee kerana sudah lewat. Saya bimbang dimarahi ibu dan tidak dapat menghubunginya kerana tidak ingat nombor telefon.
“Saya tiba di rumah rakan kira-kira jam 5 pagi dan terus tidur kepenatan. Saya tidak sedar orang ramai mencari saya kerana menyangka hilang.
“Saya terkejut apabila ada anggota polis ke rumah rakan untuk mencari saya dan memohon maaf kerana menyusahkan banyak pihak,” katanya.
Pelajar tingkatan empat itu berkata, dia dan rakan berkunjung di banglo usang itu kerana mahu menghabiskan masa sempena cuti sekolah.
“Biasanya kami berjalan sekitar bandar, tetapi kali ini ke Villa Nabila yang berhampiran Teluk Danga kira-kira jam 12 tengah malam selepas seorang kawan memberi cadangan,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Norhayati Mohamad, 38, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada polis kira-kira jam 2 pagi memaklumkan anak ketiga daripada tujuh beradik itu ditemui di rumah rakannya di Flat Taman Desa Mutiara, Tebrau, di sini.


Sebelum itu, terdapat pelbagai laporan, antaranya, seperti berikut:



Misteri Villa Nabila

Oleh AZIZI MAJID dan IFQDAR RAHMAN
pengarang@utusan.com.my













Orang ramai memenuhi kawasan Villa Nabila atau Christine Palace berikutan berita di laman sosial mengenai kehilangan beberapa remaja di villa usang berkenaan di Jalan Skudai, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU 18 Nov. - Sebuah banglo terbiar dikenali sebagai Villa Nabila di Jalan Skudai di sini menjadi tumpuan ramai apabila seorang remaja lelaki dilaporkan 'hilang' selepas memasuki premis itu bersama beberapa rakannya awal pagi ini.
Mohamad Izzat Izzudin Husin, 16, sebelum itu tidak pulang selepas keluar rumahnya di Kampung Hajah Hasnah Majidee di sini sejak Sabtu lalu.
Ibunya, Norhayati Mohamad, 38, kemudian menghubungi rakan anaknya yang memaklumkan remaja itu telah pergi ke banglo berkenaan bersama beberapa rakannya.
Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Supritendan Abdul Samad Salleh berkata, ibu remaja tersebut telah pergi mencari anaknya di banglo berkenaan malam tadi.
"Selepas gagal menemukan anaknya, wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Danga Bay pukul 1 pagi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Abdul Samad berkata, sepasukan polis termasuk Unit Anjing Pengesan serta pasukan Bomba dan Penyelamat telah menjalankan operasi di banglo itu tetapi gagal mengesan remaja berkenaan.
Beliau yang mengklasifikasikan kes itu sebagai orang hilang turut menafikan khabar angin yang tersebar di laman sosial Facebook bahawa terdapat 23 remaja hilang manakala tujuh lagi berjaya keluar selepas memasuki banglo berkenaan.
Menurut Abdul Samad , pihaknya hanya menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu dan menggesa orang ramai tidak menyalurkan maklumat tidak tepat sehingga boleh mengelirukan pelbagai pihak.
Dalam pada itu, difahamkan, keluarga Mohamad Izzat turut mendapatkan khidmat ustaz dan pengamal perubatan Islam bagi menjejaki remaja berkenaan yang dikhuatiri telah 'disembunyikan'.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati orang ramai mula berada di pekarangan pintu masuk banglo tersebut sejak malam tadi hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh kira-kira dua kilometer.
Villa Nabila yang mempunyai tiga buah bangunan yang sudah usang itu dianggap penduduk sebagai berhantu dan kewujudannya sejak 40 tahun lalu sering dikaitkan dengan pelbagai kejadian mistik sehingga menjadi tumpuan orang ramai, khususnya pengkaji aktiviti paranormal.
Sementara itu, salah seorang remaja yang turut sama ke banglo berkenaan, Megat Irfan Abdullah Shariman, 16, berkata, dia bersama kira-kira 30 rakan lain masuk ke premis berkenaan pukul 12.30 tengah malam tadi.
"Kira-kira 20 minit di situ, beberapa rakan saya tiba-tiba diserang histeria sebelum kami bergegas turun dan pergi ke Masjid Kolam Air untuk mendapatkan bantuan orang ramai.
"Selepas itu kami semua bersurai, tak sangka pula ada yang hilang kerana saya sendiri kurang mengenali dia (mangsa)," katanya.
Seorang lagi remaja, Junaizi Rafifi Jamaluddin, 13, mendakwa, terdapat dua kumpulan pergi ke banglo terletak di kawasan atas bukit berkenaan.
"Saya masuk dengan sembilan rakan dan sebaik sahaja turun barulah ada rakan beritahu ada yang tertinggal di atas tetapi saya sendiri tidak kenal remaja tersebut," katanya.
Sementara itu, usaha wartawan untuk menemu bual Norhayati gagal apabila wanita berkenaan terus beredar menaiki kereta selepas memberi kenyataan di Balai Polis Sentral di sini kira-kira pukul 2.30 petang.

Berikut pula, KENYATAAN PIHAK POLIS:

JOHOR BAHRU – Remaja, Mohd Izzudin Izzat Hussin, 16 tahun, yang dilaporkan hilang selepas pergi ke Villa Nabila di Danga Bay Johor Bahru 16 November lepas untuk meninjau hantu tahu dirinya sedang dicari pihak polis sepanjang tempoh kehilangannya melalui berita televisyen.Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negeri Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.
Menurut beliau, remaja berkenaan ditemui di sebuah rumah rakannya di Flat Desa Mutiara tengah malam tadi bersama teman wanitanya.
“Polis Johor berjaya.. misteri Villa Nabila ini sudah terjawab.. budak yang dilaporkan hilang yang dikatakan disorok oleh jin, makhluk halus.. berita yang begitu sensasi sekali ya.. disebar begitu luas dalam laman sosial.. Polis Johor berjaya menjawab misteri ini,” katanya.
Mohd Mokhtar berkata sebaik sahaja pihak polis menerima laporan kehilangan remaja terbabit, pihak polis Johor menubuhkan satu pasukan khas mencari remaja terbabit.
“Ibunya buat laporan mengatakan dia keluar rumah tak balik, kemudian pelbagai cerita kononnya hilang di Villa Nabila, polis tubuhkan pasukan khas, Ops Kesan arahan jelas, cari budak ini sampai dapat,” katanya.
Hasil daripada pemantauan, risikan dan kebijaksanaan polis akhirnya malam tadi remaja berkenaan berjaya ditemui, kata Mohd Mokhtar.
Beliau berkata polis membawa remaja berkenaan yang bersama teman wanitanya ke sebuah balai polis serta direkod kenyataannya.
“Jadi, cerita yang kononnya dia hilang di Villa Nabila ini tidak betul. Nasihat saya berhentikanlah kepercayaan kurafat ini. Jangan menyebarkan maklumat-maklumat, khabar angin kononnya di Villa Nabila orang pergi hilang, 30 budak hilang.. Ini semua karut.
“Budak ini telah dijumpai malam tadi lebih kurang pukul 12 malam oleh anggota polis dan kita telah siasat dan dia pun tahu, bukan dia tak tahu.. Dia pun tengok televisyen juga,” katanya.
Remaja itu, menurut beliau akan diserahkan kepada keluarganya.

SAYA UNGKITKAN/NYATAKAN...
1. Saya kesian kepada "ramai" rakyat Malaysia, termasuk saya, yang tiba-tiba terpaksa "menyelongkar" tentang "Apa itu Villa Nabila"?, "Apa ceritanya"? dan lain-lain;
2. Saya kesian dan simpati kepada pihak keselamatan (polis, dan lain-lain pihak) yang terpaksa mengerahkan tenaga (dan kos serta masa) untuk "operasi khas" ini, dan berakhir ceritanya sedemikian rupa seperti di atas;
3. Saya hairan, kenapa ramai kita mudah percaya kepada cerita sensasi yang tak tentu hala dan tahyul; dan
4. Saya masih tertanya-tanya, "Apa cerita sebenarnya, yang sebenar-benarnya" di sebalik cerita yang terbongkar itu....(terutama tentang budak lelaki tu)

Apapun, pasti ada hikmah disebalik cerita di atas, selain daripada yang saya ungkitkan/nyatakan di atas, termasuklah:
1. Kemungkinan memajukan tempat itu agar lebih bermanfaat; dan
2. membuka mata tentang wujudnya tempat terbiar di suatu kawasan/wilayah yang merupakan salah satu yang paling pesat membangun/dibangunkan.

No comments:

Post a Comment