Wednesday, September 10, 2014

Akhirnya, Sofea Pergi Jua...

Pada tengah hari 14 Januari 2014 (bersamaan 12 Rabi'ul Awal 1435)(Hari Maulidul Rasul), saya melawat seorang staf pejabat saya yang anaknya dimasukkan ke wad di Hospital Pulau Pinang. Katil di sebelahnya terdapat seorang kanak-kanak perempuan terbaring, dan di sisinya terdapat beberapa orang ("Mungkin ahli keluarganya yang terdekat," bisik hati saya). Tiba-tiba seorang wanita ("Ibunya, kuit", kata hati saya lagi) menangis dan ahli keluarga lain juga nampak duka...
Saya memberanikan diri menyapa salah seorang ahli keluarga tersebut:
"Assalamualaikum...apa sakitnya anak perempuan ni"?
"Sakit barah, bang... Barah hati.."
"Bila dapat tahu?"
"Tahun lepas, tapi dah peringkat teruk...Tengok ni, perutnya pun dah kembang...dan kulitnya pun dah kehitaman..."
"Apa yang berlaku sekarang?"
"Anak saya ni meminta kami membawanya ke Zoo, sebab dia nak melihat haiwan, sebelum dia dipanggil pulang..."
"Berapa umor dia?"
"10 tahun, bang..."
"Jadi, kenapa tak tunaikan hajat dia?"
"Kami tak cukup belanja nak bawa dia ke sana..Tambang, tiket masuk..makan..."
Saya termenung sekejap, dan...
"Oh, kalu macam tu, macam mana jika hari ahad ni saya bawa anak ini ke Zoo Taiping. Tapi ahli keluarga dia kena ikut la juga. Tak per, saya tanggung semuanya".
Mereka ramai-ramai mengucapkan terima kasih, dan salah seorang ahli keluarga itu memeluk saya sambil mengucapkan terima kasih.
Pada ahad 19 Januari 2014, selepas makan pagi, saya pun bertolak ke alamat rumah pangsa yang diberikan, yang terletak di Ayer Itam, Pulau Pinang. Tiga ahli keluarga budak perempuan itu dan budak perempuan berkenaan telah pun menunggu. Masa itu sekitar jam 9 pagi.
"Oh, saya lupa menanya nama anak perempuan ini.."
"Namanya Sofea, bang."
Setelah tiba di Zoo Taiping sekitar jam 10 pagi, kami pun terus masuk ke dalam kawasan Zoo, dan menaiki keretapi Zoo kerana Sofea tak larat berjalan jauh.. Sofea nampak amat gembira kerana dapat melihat pelbagai haiwan. (Saya pun seronok juga kerana saya sendiri pun dah amat lama tak masuk Zoo)(Kebetulan saya sedang mencari bahan untuk penulisan buku/artikel saya berkaitan zoo).

Gambar saya dan Sofea di pintu utama Zoo Taiping

Selepas sekitar 3 jam di sana, kami keluar dan saya belanja makan keluarga in, dan seterusnya selepas solat zohor, saya menghantar keluarga ini pulang ke Ayer Itam. Semasa turun daripada kenderaan saya, Sofea bersalam sambil mencium tangan saya...dan mengucap "Terima kasih, Pak Cik.." Suaranya agak lemah. Sekali sekala saya ada juga menelefon ahli keluaganya bertanya kabar hal Sofea. Dalam banyak kali, saya diberitahu, "Sofea di wad.." dan, "Sofea baru keluar wad..."
Sekitar jam 9 pagi, Jumaat 29 Ogos 2014, semasa saya berada di pejabat saya di USM Pulau Pinang, saya menerima panggilan telefon dariapada ibu Sofea..
"Abang Aziz..Kalau boleh, kami nak minta tolong, Urgent sangat..."
"Apa tu?"
"Sofea tenat, dan nak kena di bawa ke hospital, tapi kami tak ada kenderaan. Kawan yang biasa tolong kami tu pula tak ada di Penang. Kalau boleh, kami nak minta abang Aziz hantarkan Sofea ke hospital."
Memandangkan saya tak ada komitmen besar masa itu, maka saya kata, "Boleh", dan terus bergegas pergi menjemput Sofea (yang rupa-rupanya sudah berkerusi roda kerana kini amat lemah tubuhnya). Dia diiringi dua ahli keluarganya. Selepas menghantarnya ke Hospital Pulau Pinang, saya meminta diri untuk segera pulang ke pejabat saya.
Awal pagi 1 September 2014, saya memandu bersendirian dari Pulau Pinang ke arah Kuala Lumpur. Sekitar jam 11.15 pagi, saya singgah di Hentian Sebelah Behrang, dan tiba-tiba saya mendapat panggilan telefon daripada ibu Sofea memberitahu, "Abang Aziz..Sofea telah meninggal dunia jam 11 tadi..." (dalam nada esakan..)
"Inna lillah hiwainna ilaihi rooji'uuunnn... Sampaikan salam saya kepada semua ahli keluarga Allahyarham Sofea agar semua tenang dan sabar menempuh dugaan Allah. Saya mohon maaf tak dapat menziarah kerana saya dah dalam perjalanan tugas di Bangi.."
Empat hari kemudian, saya mengirimkan whatsapp kepada salah seorang ahli keluarga Allahyarham Sofea, "Kalau boleh, saya ingin menatap wajah Sofea pada saat-saat akhir hayat beliau"
"InsyaAllah, akan kami hantarkan gambarnya.."
"Terima kasih.."

Berikut gambar-gambar yang ahli keluarga Sofea hantar kepada saya...

 
 Keadaan Sofea pada 31 Ogos 2014

 Sofea semakin tenat pada awal pagi 1 September 2014

 Sofea telah menghembuskan nafasnya yang terakhir...

Sofea dimakamkan di sebuah tanah perkuburan di utara Negeri Kedah (perkuburan kebanyakan ahli keluarganya di sebelah bapanya)....

No comments:

Post a Comment