SALAHUDDIN AL AYUBI TOKOH UMMAH
PEMIMPIN YANG TEGAS DAN BERANI
Pengenalan
*Salahuddin*
dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurdis biasa. Pendidikannya juga
seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan
mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka sebelum ia menguasai Mesir
dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurdis ini suatu hari nanti akan
merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan
tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh
dalam memerangi kekufuran hingga ke hari ini.
Stanley Lane
Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang
governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan
satupun tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia
menunjukkan akhlak yang mulia.
Walau
bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada
zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk
menjadi pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, Sultan
Aleppo, ia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah
oleh sebuah kerajaan Syi’ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Bahauddin
bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat
berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa
ke tempat pembunuhan (Bahauddin, 1234).
Tetapi
itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, “Boleh jadi kamu
membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai
sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu” (Al-Baqarah:216)
Pertukaran Hidup Salahuddin Al-Ayubi
Ketika
Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah telah
mempertanggung-jawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin
dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan
dalam catatannya bahwa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah
Mesir. Dunia dan kesenangannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati
yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala
kesenangannya (Bahauddin,1234).
Bahkan
Stanley Lane Poole (1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara
hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara’ dan menjalani hidup yang
lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup senang dan memilih
corak hidup “Spartan” yang menjadi contoh kepada tenteranya. Ia menumpukan
seluruh tenaganya untuk satu tujuan yaitu untuk membina kekuasaan Islam yang
cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam.
Salahuddin
pernah berkata, “Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia
juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia memenangkan perjuangan
Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.
Lane-Poole
juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk
mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan
perawi-perawinya, syariah dan usul fiqh dan juga tafsir Qur’an.
Salahuddin
pernah berkata, *“Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia
juga bermaksud Palestin untukku."*
Ini
menyebabkan dia memenangkan perjuangan Islam. Sehubungan dengan itu dia
telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.
Salahuddin yang Wara’
Bahauddin
bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan
Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak pergi sembahyang
berjemaah. Ia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika sakitnya ia akan
memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah
utama yang diasaskan oleh Rasulullah SAW, ia sentiasa mengerjakan sembahyang
sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu ia tidak dapat sembahyang mala, ia
akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa
sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana ia
telah tersangat lemah dan selalu pengsan.
Tetapi ia
tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Ia tidak pernah membayar zakat kerana
ia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Ia sangat murah hati dan akan
menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang
memerlukan hinggakan ketika wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan
satu dinar wang emas. Ia tidak meninggalkan harta.
Bahauddin
juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan
kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun
ia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya dengan keras supaya berbuka.
Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, “Aku tak tahu bila ajal
akan menemuiku”. Maka segera ia membayar fidyah.
Dalam
catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji
ke Mekah tetapi ia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewatannya,
keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan. Ia sangat
gemar mendengar bacaan Al-Qur’an. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk
mendegar bacaan Qur’an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu’
semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya
membasahi dagunya. Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Ia akan
memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan.
Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang
kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan
kadang-kadang ia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendengarkan
hadis-hadis dibacakan kepadanya.
Salahuddin
sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia biasa meletakkan segala
harapan nya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika ia
berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi
daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak
ia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim
sejuk. Bahaauddin mencatatkan, “Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu.
Ia menghabis kan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat.
Pada tengah
malam saya minta supaya ia berehat tetapi jawabnya, “Ku fikir kau mengantuk.
Pergilah tidur sejenak”. Bila hampir subuh akupun bangun dan pergi
mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. “Aku tidak tidur
semalam” katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, “Kau kena
munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya”. Lalu ia bertanya, “Apa yang perlu
ku lakukan?”
Aku
menjawab, Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa.
Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid,
sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah SAW pernah
sembahyang sebelum mi’raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di
tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajadlah kepada Allah dengan
ucapan “Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon
pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau sahaja
yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini”
Aku
mengatakan kepadanya, “Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu”. Lalu
Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika
dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya
dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi
aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan
berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa
hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke
Ramla pada hari Isnin pagi”
Tingkah-laku Salahuddin Al-Ayubi
Siapa yang
rapat dengannya mengatakan ia adalah seorang Islam yang taat kepada Allah,
sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun. Bahauddin
bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan ia telah
memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan
Selasa. Pada masa ini ia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan
kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan
yang diterimanya dan mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang
perlu diambil dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak pernah
membenarkan orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat orang
itu. Dalam masa yang sama ia sentiasa bertasbih kepada Allah.
Jika ada
orang membuat aduan, ia akan mendegarkan dengan teliti dan kemudian memberikan
keputusannya. Suatu hari seorang lelaki telah membuat aduan berkenaan
Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan segera ia memanggil anak saudaranya
itu dan meminta penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang membuat
tuduhan kepada Salahuddin sendiri. Yang memerlukan penyiasatan. Walaupun
tuduhan orang itu didapati tidak berasas, ia telah menghadiahkan orang itu
sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain.
Ia adalah
seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci
kepada ketidakadilan. Ia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan
pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang
memanaskan hatinya, ia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air
muka mereka. Pada suatu ketika ia pernah meminta air minum, tetapi entah apa
sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Ia meminta sehingga lima kali lalu
berkata, “Aku hampir mati kehausan”. Ia kemudian meminum air yang dibawakan
kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan.
Dalam ketika
yang lain ia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya
air yang disediakan agak panas, lalu ia meminta air sejuk. Sebanyak dua kali
khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan ia belum
benar-benar sihat, ia merasa kesejukan tetapi ia hanya berkata kepada
khadamnya, “Katakan sajalah kalau kau tak suka kepadaku”. Lalu khadam itu
cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.
Bahauddin
juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat pemurah dan
baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya pun
diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah berjaya menawan bandar
‘Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan keinginannya
untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati ia memberikannya. Bahkan dalam
beberapa ketika ia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli hadiah.
Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki wang
simpanan untuk digunakan semasa kecemasan.
Jika ia
tahu, ia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga habis. Salahuddin pernah
mengatakan ada orang baginya wang dan debu sama sahaja. “Aku tahu”, kata
Bahauddin, “Ia mengatakan dirinya”. Salahuddin tidak pernah membiarkan
tetamunya meninggalkannya tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda
penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat
Salahuddin dan ia menyambutnya dengan tangat terbuka, melayannya dengan hormat
dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa
mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika
Raja inggeris itu sakit.
Hatinya
memang sangat lembut hingga ia sangat mudah terkesan apabila melihat orang
dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristian datang
mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan meraung di depan
Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan itu
seterusnya mengatakan ia telah dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan
bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu iapun
turut menangis. Ia segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di
pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali
lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.
Bahauddin
juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada anak-anak yatim. Bila
ia terjumpa anak-anak yatim ia akan menguruskan supaya ada orang menjadi
penjaga anak itu. Kadang-kadang ia sendiri yang akan menjaga dan membesarkan
anak yatim yang ditemuinya. Ia juga sangat kasihan melihat orang tua atau yang
kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada mereka apabila ia
bertemu dengan orang sedemikian.
Kesungguhan dan Semangat Sallahuddin
Al-Ayubi
Ketika
mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap sakit
berat yang menyebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, ia
keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin
bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin
menjawab, “Penyakit akan meninggalkanku apabila kamu menunggang kuda”.
Dalam ketika
yang lain ia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit tetapi pergi
memburu musuh sepanjang malam. “Apabila ia sakit”, kata Bahauddin, Aku dan
doktor akan bersamanya sepanjang malam. Ia tidak dapat tidur akibat menahan
sakit, tetapi apabila pagi menjelang, ia akan menunggang kuda untuk melawan
musuh. Ia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang
lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari menunggang
kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Ia hanya akan kembali
ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan pada waktu
malam”.
Dalam
kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh menandingi
Salahuddin. Kadang-kadang ia sediri pergi ke kawasan perkhemahan tentera musuh
bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang ia
sendiri akan pergi merempuh celah-celah tentera musuh yang sedang mara. Ia
sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan memberikan arahan
kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada mencatatkan satu kisah yang
menunjukkan betapa beraninya Salahuddin.
Salahuddin
diberitahu bahawa ia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang bukannya
ketika perang. Apabila mendengar perkara ini ia segera mengarahkan supaya
hadis-hadis dibacakan kepadanya ketika peperangan sedang berkecamuk dengan
sengitnya.
Salahuddin
tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk
menentangnya. Dalam bebeerapa ketika, tentera Salib berjumah sehingga 600,000
orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit.
Berkat pertolongan Allah ia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai
tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera
musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang.
Boleh
dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan
yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh
telah menyebabkan tentera Islam kalang kabut. Tentera musuh telah merempuh
khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khamah Salahuddin dan
mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya
mengatur tenteranya kembali sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi
kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang
7,000 mayat-mayat.
Bahauddin
ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin
pernah berkata kepadanya, “Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam
hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku,
aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, ku berikan
arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar
untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata
ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku
sampai.
Salahuddin Al-Ayubi Sebagai Ulama
Salahuddin
memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga mengetahui setiap suku-suku
kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan ia mengetahui sifat-sifat kuda Arab
walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Ia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan
maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari
satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur’an ia juga banyak menghafal
syair-syair Arab.
Semangat Jihad Salahuddin Al-Ayubi
Fikiran
Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin telah
mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad
menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang
paling digemarinya. Ia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat
pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad.
Jika ada
sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh
perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada
duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya
berjihad akan mendapat kepercayaannya. Siapa sahaja yang memerhatikannya akan
dapat melihat apabila ia telah memulakan jihat melawan tentera salib ia akan
menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat
tenteranya.
Dalam medan
peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat
dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari satu hujung medan peperangan
ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad
di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh pelusuk tanah air
dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.
Ketika ia
mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya
tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap
makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerana ia tidak mahu perhatiannya
kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234)
Peperangan Salib di Hittin
Satu siri
peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan tentera
Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir,
583 H, tentera Salib telah kalah. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang
memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald dari
Chatillon. Pembesar-pembesar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari
Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga
tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole
menceritakan bahwa dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang
tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah.
Mayat-mayat
tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara
salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia
berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati
dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat
memutih dari jauh.
Kecintaan Salahuddin Al-Ayubi kepada
Islam
Peperangan
Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole
menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa peperanggan
Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan diperintahkannya tawanan
perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari
Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya.
Kemudian ia
bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, “Dua kali aku telah bersumpah
untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan
kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela
Muhammad SAW atasnya”. Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala
Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari khemah.
Raja
Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana menyangka
gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya
sambil berkata, “Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain,
tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang
telah terjadi”.
Tindakan
Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad
SAW. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin mencatatkan bila
jamaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa belas kasihan oleh
Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald
dengan angkuhnya mengatakan, “Mintalah kepada Nabi kamu, Muhammad, untuk
menyelematkan kamu”. Ketika ia mendengar berita ini ia telah berjanji akan
membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.
Kemenangan
peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan
Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat
berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukitpun akan mengecut dari
bebanan yang dibawa di dalam hatinya. Pada hari jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu
pada hari Isra’ Mi’raj, Salahuddin telah memasuki banda suci tempat Rasulullah
SAW naik ke langit.
Dalam
catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemenangan atas kemenangan. Ramai orang
yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa
datang merayakan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang
dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk
mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua
pembesar-pembesar datang. Laungan *“Allahhu Akbar”* dan *“Tiada tuhan melainkan
Allah”* telah memenuhi langit.
Selepas 90
tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddid. Salib
yang terpampang di ‘Dome of Rock’ telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa
ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari
itu.
Salahuddin Yang Penyayang
Sifat
penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh
berbeda daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun
mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah
mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah
menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah.
Tenteranya sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan,
mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang
Kristian diperlakukan tidak baik.
Semua jalan keluar-masuk
ke Baitul Muqaddis ditangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu
Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang
ditawan. Lane-Poole juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan
kepada pegawainya, “Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah benderma.
Sekarang giliranku pula”. Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan di
jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar tebusan boleh
dibebaskan. Maka begitu ramailah orang berpusu-pusu keluar dari pintu St.
Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada
orang miskin tanpa menghitung bilangan mereka.
Selanjutnya
Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika
menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam
sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan
Jerusalem jalan-jalan itu ‘tersumbat’ dengan mayat-mayat, orang-orang Islam
yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas
bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir
dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan
kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat
bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh
Salahuddin.
Lane-Poole
juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai
Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling
penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.
Perang Salib Ketiga
Perang Salib
pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099
(490H) manakala yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan
Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian ia telah menawan
Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah
menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan
ke bumi Palestin.
Hampir semua
raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja
Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis, Leopold
dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang
Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya
serta tenteranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan
Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.
Peperangan
ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi
lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk memuat perjanjian di
Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah pengusa
Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan
Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga.
Lane-Poole
telah mencatatkan perjanjian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah
berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai,
1187 M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan orang-orang Islam.
Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192 M, keseluruhannya menjadi
milik mereka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada
rasa malu apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin
masih di tangan orang-orang Kristian.
Atas seruan
Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat senjata. Raja England, Perancis,
Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus
lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin
untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau
bagaimanapun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian
pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi Tanah Suci
itu masih di dalam tangan Salahuddin.
Selanjutnya
Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kritian yang telah ditumpukan
dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya
mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak
pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan.
Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang
tidak henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi.
Bahkan dalam
peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah
menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang
boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia,
Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana
sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat
menyatukan mereka di atas jalan Tuhan dari pada mula peperangan pada tahun 1187
hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.
Lane-Poole
juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia mempunyai
majlis syura (musyawarah)yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan.
Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis
ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih
mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada
adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya,
pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai
sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya
menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan
perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada
Salahuddin..
Kematian Salahuddin Al-Ayubi
Pada hari
Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas
pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad,
penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir
Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia jatuh sakit, ia telah
menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja’afar seorang yang wara’ telah diminta
menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia nazak, bacaan Qur’an dan syahadah
boleh diperdengarkan kepadanya.
Memang pada
malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu
Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan
Qur’an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pengsan dan sedar sebentar. Apabila
Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, “Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia,
Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata” (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka
matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata,
“Memang benar”. Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke
rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya
Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar
dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun
dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya
tidak cukup untuk upah pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang
untuk menanggung upah pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh
seorang menterinya.
Demikian sebuah sejarah agung
seorang Panglima Jihad yang sudah pasti mendapat kasih sayang ALLAH di sana
nanti. Semoga akan lahir pemimpin yang akan terus mengemudi umat ini pada abad-abad
datang hingga kiamat.
No comments:
Post a Comment