Tuesday, December 24, 2013

Petanda Bencana?

Berikut beberapa laporan yang relevan:


Beribu ikan ‘naik ke darat’ di Lahad Datu, penduduk bimbang petanda bencana
The Malaysian Insider – 9 hours ago
Beribu-ribu ikan timbul di pesisiran pantai Kampung Tambisan di bahagian Timur Sabah, Lahad Datu sekaligus menimbulkan persoalan mengenai petanda bencana yang bakal berlaku hujung tahun ini.
Penduduk kampung rata-rata memungut ikan-ikan tersebut yang dikenali dengan nama ikan tamban.
Bagaimanapun penduduk tempatan, Suzila Abdullah berkata, fenomena seperti ini sudah berlaku sejak tiga tahun dulu.
"Tetapi tahun ini ia kelihatan berbeza kerana jumlah ikan yang timbul amat banyak," katanya dipetik daripada Mstar Online.
Suzila berkata, dia percaya musim sekarang yang berombak kuat membuatkan ikan-ikan ini naik ke darat tetapi hanya dua atau tiga hari sahaja.
Ikan-ikan tersebut dipungut dan dimasak, manakala ada juga penduduk kampung yang menjual ikan tersebut di Lahad Datu atau daerah lain. Ikan tamban terkenal di kalangan penduduk kampung tersebut. – 24 Disember, 2013.

Petanda bencana mungkin berlaku
Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa.lakawa@kosmo.com.my
KOTA KINABALU – Jika pada Mac tahun ini Lahad Datu di Timur Sabah menjadi sasaran serangan pengganas Sulu dari Filipina, lain pula ceritanya semalam apabila beribu-ribu ikan tamban melompat dan ‘menyerang’ pantai Kampung Tambisan di kawasan berkenaan.
Kehadiran ribuan ikan tamban hidup itu yang menukar warna landskap pantai Kampung Tambisan di Felda Sahabat kepada putih telah mencetuskan keresahan penduduk kononnya fenomena bencana tsunami mungkin berlaku.
Perairan Sabah sememangnya terdedah dengan kemungkinan tsunami.
Tiga pelampung boya keselamatan dipasang di perairan Malaysia di Sabah iaitu di Pulau Rondo, Pulau Layang-Layang dan Pulau Sipadan bagi memberi amaran tsunami di kawasan tersebut.
Kejadian pelik ikan tamban melompat dan terdampar di pantai itu disedari penduduk kampung pada kira-kira pukul 8 pagi apabila mereka melihat kawasan pesisir pantai berubah menjadi putih ekoran timbunan ikan tersebut.
Fenomena itu turut mencetuskan pesta ikan di kalangan penduduk kampung yang mengambil kesempatan untuk memunggah ikan ke dalam bekas. 

Jabatan Meteorologi nafi tsunami bakal berlaku
KOTA KINABALU - Jabatan Meteorologi Sabah menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya fenomena pelik beribu-ribu ikan tamban melompat dan terdampar di pantai Kampung Tambisan, Lahad Datu semalam sebagai petanda fenomena tsunami bakal berlaku di negeri ini.
Pengarahnya, Abdul Malik Tussin berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima amaran tsunami bakal berlaku berikutan fenomena ikan terdampar yang jarang berlaku itu.
Menurutnya, jika tsunami berlaku, pelampung boya tsunami yang dipasang di perairan Semporna, Sabah akan memberi amaran jika berlaku tsunami di Lautan Pasifik.
Katanya, pelampung boya keselamatan itu dilengkapi peralatan tsunameter khusus untuk mendapatkan tekanan permukaan di dasar laut dan maklumat ketinggian ombak akibat tsunami.
"Oleh itu jika ada gegaran dari dasar laut, maklumat yang dikumpul oleh tsunameter akan dihantar secara automatik kepada Jabatan Meteorologi.
"Tetapi setakat ini kami tidak menerima sebarang amaran berkaitan. Justeru, saya nasihatkan orang ramai terutamanya mereka yang tinggal di Sabah agar tidak mempercayai khabar angin yang mengaitkan kejadian di Kampung Tambisan sebagai satu ancaman tsunami," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm (25 Disember 2013)


NOTA:
Pada 24 Disember 2004, kejadian ikan "lari" ke darat dalam jumlah yang amat banyak juga berlaku di beberapa lokasi beberapa pantai di Kedah dan Pulau Pinang. Kebetulan berlaku tsunami pada 26 Disember 2004.
Apapun, KITA SAMA-SAMA BERDOA AGAR ALLAH MELINDINGI KITA SEMUA DARIPADA APA-APA MUSIBAT SEDEMIKIAN RUPA. Namun, kita juga mestilah BERSEDIA & BERSIAP-SIAGA....

No comments:

Post a Comment