Nas-nas berkaitan SUJUD SYUKUR
Dari Abu Bakar r.a bahawa Nabi
Muhammad (saw) biasanya apabila menerima berita yang mengembirakan baginda
terus sujud kepada Allah.(Riwayat
Abu Dawud dan Tarmizi)
Hadis
yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf katanya: “Sewaktu Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi lalu
memasukinya. Kemudian Baginda menghadap kiblat dan sujud, dan memanjangkan
sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya bersabda:
“Sesungguhnya Jibril mendatangiku dan memberi khabar gembira kepadaku. Jibril
berkata:“Sesungguhnya Allah mengatakan kepada engkau: “Siapa yang memberi
selawat ke atas engkau Aku akan memberi selawat kepadanya dan siapa yang
memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam kepadanya” Lalu saya
bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Hukum Sujud Syukur
Jumhur ulama
(mazhab Syafi’e dan Hanbali) berpendapat bahawa sujud syukur itu adalah sunat. Ianya
hanya sunat dilakukan di luar solat ketika seseorang mendapat limpahan rahmat
daripada Allah (swt) atau terhindar daripada malapetaka. Sujud syukur tidak
dibenarkan dilakukan di dalam apa-apa jenis solat. Apabila dikerjakan maka
solatnya dianggap batal kecuali dalam keadaan jahil atau lupa. Di antara sujud
yang dikategorikan sebagai sujud syukur ialah sujud selepas membaca ayat 25
daripada surah Shaad:
“Maka Kami mengampuni kesalahannya. Sesungguhnya dia dekat dari Kami dan
mempunyai tempat kembali yang baik.”
Syarat-syarat & Cara-cara
Melakukannya
Menurut
mazhab Syafi’e dan Hanbali disyaratkan sepertimana hendak melakukan solat iaitu
hendaklah suci daripada hadas kecil ataupun besar (yakni berwuduk), mengadap
kiblat dan menutup aurat. Ia dimulakan dengan berniat untuk sujud syukur.
Kemudiannya bertakbir, kemudian sujud sekali dengan membaca doa sepertimana doa
sujud di dalam solat. Bertakbir sekali lagi untuk bangkit daripada sujud,
kemudian salam tanpa membaca doa tasyahud. Elok juga membaca
tasbih seperti bacaan ‘Sujud Tilawah’:
“Daku bersujud kepada Allah yang menjadikanku, memberikan pendengaranku
dan penglihatanku dengan Kekuasaan-Nya dan Kudrat-Nya. Maka Maha Suci Allah,
Dialah sebaik-baik pencipta kejadian.”
NOTA:
Terdapat
pendapat yang menyatakan bahawa makruh hukumnya mengerjakan sujud syukur pada
waktu-waktu yang dilarang mengerjakan solat sunat (iaitu selepas solat Subuh
atau selepas solat Asar). Begitu juga tidak dibenarkan mengerjakan sujud syukur
ketika mendengar khutbah Jumaat.
No comments:
Post a Comment