Saturday, October 12, 2013

Akta Dagang (Trade Act)?

Pada 11 Oktober 2013, saya singgah di satu Perhentian Rehat & Rawat (R&R) di Lebuhraya Utara-Selatan. Saya terlihat satu papan tanda (Notice Board) seperti berikut:



Baguslah notis ("Peringatan") sedemikian, walaupun ianya ditujukan kepada "penjual barangan tiruan" dan bukannya "pembeli barangan tiruan". Ia boleh memberikan kesedaran (atau merupakan perang terhadap barangan tiruan) tentang berleluasanya barangan tiruan, termasuk penjualannya kepada para pelanggan/pengguna R&R.
Namun, terdapat kesilapan pada papan tanda tersebut iaitu yang versi Bahasa Inggerisnya, antaranya menyebut, "Trade Act 1972". Di Malaysia, TIDAK ADA Trade Act 1972. Jika diterjemahkan yang daripada Bahasa Malaysianya, ia sepatutnya menjadi "Trade Description Act 1972". Akta ini memang PERNAH ADA, namun TELAH DIMANSUHKAN oleh Akta Perihal Dagangan 2011 (Trade Description Act 2011)(Akta 730) berkuatkuasa mulai 1 November 2011 [P.U.(B) 540/2011].
Seksyen 70 Akta Perihal Dagangan 2011 menyatakan, "Akta Perihal Dagangan 1972 [Akta 87] dimansuhkan".

NOTA: Apapun saya menghargai usaha "Peringatan" sedemikian. Saya mengimbau satu kes pada sekitar bulan Mac 2011, dimana semasa saya tiba di R&R Sungai Buluh (arah Utara), tiga orang pemuda telah merapati saya semasa saya sedang berjalan ke arah tandas, sambil membisikkan bahawa "Kami ada jual jam, handset murah". Mereka memujuk-mendesak saya dan saya menjadi rimas dan risau. Saya ragu juga kemungkinan barang tersebut adalah barangan curi atau hasil rompakan/samun. Sebagai warga prihatin, saya segera menghubungi 999 dan saya disambungkan ke Balai Polis berhampiran. Seorang sarjan yang menerima maklumat saya itu berjanji akan menyusul kes itu. Sekitar 15 minit menunggu, dan memikirkan tiada tindakan susulan, saya meneruskan perjalanan. Sekitar 5 minit kemudian, seorang anggota polis menghubungi saya, dan saya beritahu yang saya telah pun meneruskan perjalanan. Dia memaklumkan bahawa dia dan pasukannya sudah berada di R&R Sungai Buluh dan telah memeriksa para pennjual tersebut, dan "Kami dapati ia bukan barangan curi, cuma barangan tiruan....".




No comments:

Post a Comment