JKM salur bantuan kepada penerima “tak wujud” di tiga negeri
http://my.news.yahoo.com/jkm-salur-bantuan-kepada-penerima-tak-wujud-di-233750874.html
(Diakses 2 Oktober 2013)
Penerima bantuan yang meninggal dunia masih menerima bantuan daripada
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Sabah, Kelantan dan Negeri Sembilan.
Perkara ini didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara yang mendapati ketirisan
jabatan kerajaan dan dibacakan di Parlimen semalam.
Di bawah prosedur operasi standard, pegawai yang ditugaskan memberi
wang bantuan perlu berkunjung ke rumah penerima sekiranya wang berkenaan tidak
dituntut dalam jangka masa tiga bulan.
Jika penerima didapati berpindah atau meninggal dunia, nama mereka
perlu dikeluarkan daripada senarai penerima dengan segera.
Tetapi, di Semporna dan Sandakan di Sabah, bayaran di antara RM150 dan
RM450 oleh JKM masih diberikan kepada 12 penerima yang meninggal dunia, malah
nama mereka juga sudah direkodkan sebagai meninggal dunia.
Di Kelantan, terdapat 93 penerima meninggal dunia antara 2005 hingga
tahun lalu. Daripada jumlah keseluruhan, 41 penerima mendapat bantuan berjumlah
RM110,700 dan dimasukkan terus ke dalam bank mereka dengan sejumlah RM65,691
wang tersebut dikeluarkan oleh waris.
Bagi bantuan tunai, nama 52 penerima masih berada dalam senarai
penerima baucer bayaran meskipun tidak dituntut sehingga 26 bulan.
Di Negeri Sembilan, 40 penerima yang meninggal dunia sejak 2008 dari
Seremban, Kuala Pilah dan Port Dickson, masih diberikan bantuan di antara RM100
dan RM200 sebulan.
Daripada jumlah keseluruhan, RM45,350 dibayar kepada 15 penerima antara
2008 dan 2011.
Bayaran juga dibuat kepada 154 individu walaupun nama mereka tiada
dalam pangkalan data JKM.
“Bayaran itu boleh dipersoalkan kerana penerimanya sangat dicurigai,”
menurut laporan Ketua Audit Negara.
Di Melaka pula, 302 daripada 2,314 penerima berumur 20 tahun dan ke
atas mendapat bantuan JKM meskipun peraturan JKM negeri menetapkan penerima
yang layak mesti berusia 40 tahun ke atas.
“Ada permohonan yang diluluskan kepada penerima berusia 20 tahun,”
dedah laporan itu yang mendapati kejadian berkenaan berlaku kerana mendapat
sokongan daripada pemimpin tempatan atas dasar mendesak.
JKM Sabah memaklumkan wang bantuan masih diberikan kepada penerima
meninggal dunia kerana kelewatan waris atau ketua kampung memaklumkan kematian
penerima.
JKM Pasir Mas dan Kota Bharu pula memaklumkan telah mengambil tindakan
segera sejak Disember 2012 selepas Jabatan Audit mengesahkan penerima meninggal
dunia dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Jabatan berkenaan turut berikrar akan mengeluarkan senarai mereka yang
meninggal dunia dan akan membuat pemeriksaan berkala dengan JPN.
JKM Negeri Sembilan pula memberitahu mereka menuntut kembali wang
berkenaan daripada waris manakala empat lagi diminta membuat bayaran ansuran.
Bagaimanapun, RM5,680 masih tidak dapat dikesan.
SILA RUJUK PULA PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG BERIKUT:
Pertama, berkaitan disiplin pegawai awam (kerajaan)
Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993
Peraturan 4. Am.
(1) Seseorang pegawai hendaklah pada setiap masa memberikan taat
setianya kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan Kerajaan.
Peraturan 4(2) Seseorang pegawai tidak boleh--
(e) kurang cekap atau kurang
berusaha;
(f) tidak jujur atau tidak
amanah;
(g) tidak bertanggungjawab;
(i) ingkar perintah atau
berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai
ingkar perintah; dan
(j) cuai dalam melaksanakan
tugas-tugasnya.
Kedua, berkaitan dengan jenayah
1. Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Diantara peruntukan yang relevan:
Seksyen 18. Kesalahan dengan maksud untuk memperdayakan prinsipal oleh
ejen.
Seseorang melakukan kesalahan jika dia memberi seseorang ejen, atau
sebagai seorang ejen dia menggunakan, dengan niat hendak memperdayakan
prinsipalnya, apa-apa resit, akaun atau dokumen lain yang berkenaan dengannya
prinsipal itu mempunyai kepentingan, dan yang dia mempunyai sebab untuk
mempercayai mengandungi apa-apa pernyataan yang palsu atau silap atau tidak
lengkap tentang apa-apa butir matan, dan yang dimaksudkan untuk mengelirukan
prinsipalnya.
Seksyen 21. Penyogokan pegawai badan awam.
Mana-mana orang yang menawarkan kepada seseorang pegawai mana-mana
badan awam, atau, sebagai seorang pegawai mana-mana badan awam, meminta atau
menerima, apa-apa suapan sebagai suatu dorongan atau upah supaya—
(a) pegawai itu mengundi atau
tidak mengundi dalam mana-mana mesyuarat badan awam itu bagi menyokong atau
menentang apa-apa langkah, ketetapan atau soal yang dikemukakan kepada badan
awam itu;
(b) pegawai itu melaksanakan
atau tidak melaksanakan atau membantu dalam mendapatkan, mencepatkan,
melambatkan, merintangi atau menghalang pelaksanaan, apa-apa perbuatan rasmi;
(c) pegawai itu membantu
dalam mendapatkan atau menghalang pelulusan apa-apa undi atau pemberian apa-apa
kontrak atau faedah untuk mana-mana orang; atau
(d) pegawai itu memberikan
atau tidak memberikan apa-apa sokongan atau tentangan atas sifatnya sebagai
pegawai sedemikian,
melakukan suatu kesalahan, walaupun pegawai itu tidak mempunyai kuasa,
hak atau peluang untuk berbuat demikian, untuk memberikan yang sedemikian atau
untuk tidak memberikan yang sedemikian, atau menerima suapan itu tanpa niat
untuk berbuat demikian, untuk memberikan yang sedemikian atau untuk tidak
memberikan yang sedemikian, atau telah tidak sebenarnya berbuat demikian,
memberikan yang sedemikian atau tidak memberikan yang sedemikian, atau walaupun
dorongan atau upah itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal badan awam itu.
Seksyen 23. Kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.
(1) Mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau
kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya
atau sekutunya, melakukan suatu kesalahan.
(2) Bagi maksud subseksyen (1), seseorang pegawai badan awam hendaklah
dianggap, sehingga akasnya dibuktikan, telah menggunakan jawatan atau
kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya
atau sekutunya, apabila dia membuat apa-apa keputusan, atau mengambil apa-apa
tindakan, berhubungan dengan apa-apa perkara yang mengenainya pegawai itu, atau
mana-mana saudara atau sekutunya, mempunyai kepentingan, sama ada secara
langsung atau tidak langsung.
(3) Bagi mengelakkan keraguan, adalah diisytiharkan bahawa, bagi maksud
subseksyen (1), mana-mana anggota pentadbiran sesuatu Negeri hendaklah
disifatkan telah menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk suapan jika dia
bertindak bertentangan dengan subseksyen 2(8) Jadual kelapan kepada
Perlembagaan Persekutuan atau peruntukan yang bersamaan dalam Perlembagaan atau
Undang-Undang Tubuh Negeri itu.
(4) Seksyen ini tidaklah terpakai bagi seseorang pegawai yang memegang
jawatan dalam sesuatu badan awam sebagai wakil suatu badan awam lain yang
mempunyai kawalan atau kawalan separa atas badan awam yang mula-mula disebut
itu berkenaan dengan apa-apa perkara atau benda yang dilakukan atas sifatnya
sebagai wakil sedemikian bagi kepentingan atau faedah badan awam yang satu lagi
itu.
2. Kanun Keseksaan
Beberapa peruntukan berkaitan suapan, tipuan dan pecah amanah jenayah
No comments:
Post a Comment