Pada petang 30 Ogos 2013, saya menerima satu email memaklumkan bahawa seorang pelajar saya, FARID AFIQ AKMAL sedang terlantar di ICU Hospital Pulau Pinang akibat serangan virus. Oleh kerana pada awal malam itu saya ada acara lain, dan memandangkan beliau di ICU, maka saya bercadang untuk melawat beliau pada awal pagi 31 Ogos 2013 (Sabtu). Namun pada jam 11.02 malam, 30 Ogos 2013, saya menerima sms daripada seorang pelajar saya, Zulfahmi, memaklumkan, antaranya,
"Slm..Student CM...Farid Afiq telah meninggal dunia sebentar tadi akibat brain viran infection... Solat jenazah pukul 10 pagi esok di masjid hashim yahya, jalan perak."
(NOTA: CM = Program Construction Management, di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan & Perancangan, USM, dimana saya adalah salah seorang pensyarahnya)
Jam 7.50 pagi ini, 31 Ogos 2013, saya pun menunggu beberapa pelajar saya dekat pejabat saya di kampus USM, dan kemudiannya kami terus ke Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak, George Town, Pulau Pinang... Semasa tiba sekitar jam 9.40 pagi, jenazah baru sahaja tiba dari hospital. Selepas solat jenazah, maka jenazah Farid Afiq segera di bawa ke perkuburan berhampiran masjid. Setelah selesai perkebumian, dan talkin dibacakan sekitar jam 10.25 pagi, maka seorang demi seorang meninggalkan perkarangan tanah perkuburan tersebut. Ramai juga kawan beliau, pensyarah (termasuk Dekan PBP dan Prof. Adnan, Timbalan Naib Canselor USM) yang turut serta... Maka pergilah seorang lagi murid saya (sebelum saya sendiri turut dibawa pergi oleh Allah)...
FARID AFIQ AKMAL nampaknya telah "dimerdekakan" Allah pada malam Kemerdekaan Malaysia kali ke-56. Apapun, sebagai sahabat, guru, pentadbir, kenalan, ahli keluarga beliau, dan lain-lain, kita sama-samalah mengiringi pemergiannya dengan lafaz Alfatihah, dan selawat ke atas Junjungan Nabi (saw). Sama-samalah kita mendoakan semoga beliau ditempatkan bersama orang-orang yang diredhai Allah. Setahu saya, beliau seorang murid yang baik dan menghormati guru dan sahabat. Kita juga sama-samalah memaafkan beliau dan juga menghalalkan beliau atas segalanya...
"SAYA DENGAN INI MEMAAFKAN DAN MENGHALALKAN KAMU, WAHAI FARID AFIQ AKMAL, ATAS SEGALANYA, DARI DUNIA, SAMPAI AKHIRAT..."
No comments:
Post a Comment