Friday, July 26, 2013

Peluang: Tapi Untuk Kejahatan!



"Peluang" ertinya, "situasi atau keadaan, kedudukan, masa yang memihak kepada seseorang untuk mendapatkan atau melakukan sesuatu yang berpihak kepadanya sekarang atau masa depannya".

Banyak juga kita terdengar ungkapkata,
"Peluang datang hanya sekali",
"Eh, ni peluang bagus ni",
 "Anda berpeluang memenangi...",
"Anda dah terlepas peluang..",
"Peluang keemasan",
dan sebagainya.

Biasanya ungkapan "peluang" dikaitkan dengan "peluang baik, peluang positif, peluang yang menguntungkan". Namun, kepelikan atau keanehan pemikiran makhluk bergelar "manusia" ni kadangkala sukar dijangka atau diramalkan. Misalnya, "peluang" itu juga ada digunakan manusia untuk kejahatan atau keburukan. Misalnya:
a. Pada waktu orang Islam bersolat jumaat, maka semasa itulah juga para penjudi laga ayam berlaga ayam. Begitu juga penyeludup dll pun mengambil peluang melakukan aktiviti penyeludukan dll semasa waktu jumaat itu;
b. Pada masa orang sibuk berbuka puasa, termasuk penjawat agensi penguatkuasaan, maka semasa itulah mereka (penyeludup) gunakan untuk menyeludup barangan dan sebagainya, termasuk menyeluduk manusia;
c. Semasa kerajaan menggalakkan aktiviti pelancongan rentas sempadan, maka masa itulah juga digunakan untuk "melancong-sambil-melacur";
d. Semasa membawa barangan basah seperti ikan, dan buahan mudah rosak melintasi sempadan, dan pihak agensi penguatkuasaan "berlembut", maka pada masa itulah diambil peluang "menyelitkan" senjata api, dadah, malah orang;
e. Semasa hampir musim perayaan, maka ada yang ambil peluang menjual mercun (walaupun mereka tahu ianya amat berbahaya terhadap nyawa dan harta);
f. Semasa rakyat memerlukan bekalan makanan tertentu, misalnya semasa perayaan, maka pada masa itulah diambil peluang untuk menyorok barang agar dapat dijual dengan harga yang jauh lebih mahal daripada kebiasaan, atau terang-terangan menaikkan harga;
g. Semasa perayaan juga, dan rakyat memerlukan pengangkutan untuk pulang ke kampung halaman, maka macam-macam peluang mereka wujudkan, seperti menaikkan tambang, menggunakan kenderaan yang uzur yang membahayakan penumpang, menggunakan khidmat pemandu yang tak kompeten, dan sebagainya;
h. Bila terdapat lorong sunyi, atau semasa waktu sunyi, maka diambilnya peluang untuk mencuri, merompak, merogol, malah membunuh;
i. Semasa jerebu, semua diminta memakai penutup muka, maka penjenayah pun mengambil peluang melakukan jenayah dengan menggunakan penutup muka, termasuk menyamun;
j.Kerajaan mengarahkan penunggang dan pembonceng motosikal memakai topi keledar. Maka penjenayah pun mengambil peluang merompak bank dll, dengan memakai topi keledar;
k. Jika di pejabatnya, dia diberikan amanah untuk menguruskan dan memutuskan tender, pembelian, perolehan, mengurus kewangan dan harta, maka diambilnya peluang untuk menggunakan untuk faedah sendiri, termasuk melakukan pecah amanah, rasuah;
l. Jika ada peluang untuk ponteng, maka dia akan ponteng kerja, ponteng masa. Malah ada yang ambil peluang poteng solat (termasuk solat jumaat semasa rehat kerja hari jumaat), ponteng puasa!
m. Paling kurang pun, jika dia sedang memandu dan dia rasa ada peluang, maka dia akan memotong di selekoh, di garisan berkembar, di puncak bukit tajam (blind alley) dan sebagainya, terutama jika pada masa tersebut dia memandu kenderaan yang besar atau gagah (misalnya bas, lori, pacuan empat roda), walaupun kemungkinan besar ada kenderaan lain yang datang dari hadapan;
n. Jika ada orang yang memerlukan pertolongan, maka diambilnya peluang untuk memperalatkan "orang yang lemah" itu untuk kepentingannya pula, atau untuk mendapatkan habuan atau rasuah.

Begitulah "peluang" yang diciptanya atau diambilnya, walaupun dia tahu dan sedar bahawa penghujungnya adalah kecelakaan, keburukan, kejahatan, dan lain-lain implikasi negatif.



Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.  Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.  Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” 
 (Surah An-Nisaa’: 58). 


Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seseorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin." 
(Hadis Riwayat Muslim).


"Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkir dan apabila diberi amanah dia mengkhianati." 
(Hadis Riwayat al-Bukhari).




No comments:

Post a Comment